pantun mengenang nasib

Pantun mengenang nasib

Pisau raut hilang di rimba,
Pakaian anak raja di Juddah,
Karam di laut boleh ditimba,
Karam di hati bilakah sudah.
(Maksud : kesedihan kerana kekecewaan lebih teruk daripada kehilangan sesuatu benda)

Kusangka nanas di tengah padang,
Kiranya pandan yang berduri,
Kusangka panas sampai ke petang,
Kiranya hujan di tengah hari.
(Maksud : disangka sesuatu perkara itu akan kekal berterusan tetapi rupa-rupanya putus di tengah jalan)

Buah berangan masaknya merah,
Kelekati dalam perahu,
Luka di tangan nampah berdarah,
Luka di hati siapa tahu.
(Maksud : sukar bagi seseorang untuk mengetahui perasaan yang ditanggung oleh individu lain secara zahir)

Apa di harap kepada tudung,
Tudung salji terendak Bentan,
Apa di harap kepada untung,
Untung nasib permainan badan.( Maksud : sudah menjadi lumrah hidup, susah senang terpaksa ditanggung)

Tema
suka dan duka dalam menghadapi kehidupan yang mencabar.

Persoalan
1) kekecewaan
- perasaan kecewa sering dialami oleh seseorang dalam menempuh kehidupan dan sering mengharapkan perasaan kecewa itu segera berakhir
2) kebahagiaan
- kita sering mengharapkan kebahagiaan itu kekal menjadi milik kita tetapi kadang kala ia menjadi sebaliknya.
3) kesedihan
- setiap manusia pasti pernah mengalami saat-saat kesedihan tetapi sesetengah daripada mereka mampu menyembunyikan kesedihan tersebut daripada pengetahuan orang lain.


Nilai
- ketabahan > amat penting apabila berhadapan dengan dugaan
- keyakinan > dapat membantu seseorang memperjuangkan hidupnya
- kesabaran > amat dituntut dalam agama kerana mampu menjadikan seseorang lebih beriman


Pengajaran

- pentingnya menjaga hati orang lain > kita perlu sentiasa memastikan orang lain gembira dan tidak mudah terluka dengan apa yang kita lakukan

- tidak terlalu bergantung kepada nasib > penting untuk menentukan kejayaan

- sedia menerima suratan takdir > setiap yang ditentukan oleh Tuhan yang Esa.


Contoh soalan komsas :

1) huraikan maksud rangkap kedua pantun
kebahagiaan yang diharapkan berpanjangan rupa-rupanya berakhir dengan kekecewaan

2) pada pendapat anda, bagaimanakah cara untuk mengatasi perasaan kecewa?
Pada pendapat saya, cara untuk mengatasi perasaan kecewa ialah dengan menyemai perasaan sabar dan tabah. Selain itu, saya juga akan meluahkan perasaan kepada orang lain seperti ibu bapa, rakan, adik beradik atau kaunselor

3) Jelaskan tiga pengajaran yang terdapat dalam pantun tersebut
Tiga pengajaran yang terdapat dalam pantun tersebut ialah kita janganlah berputus asa apabila menghadapi masalah. Kedua ialah kita hendaklah reda mengahadapi dugaan hidup. Yang ketiga ialah kita hendaklah berusaha untuk mengubah nasib.

0 comments:

Catat Ulasan