1 .
Iba akan kacang sebuah, tak jadi memengat.
Kerana sayang akan perkara yang sedikit, tak tercapai apa yang dimaksudkan.
2 .
Ibarat ayam: tiada mengais tiada makan.
Sangat miskin.
3 .
Ibarat beban, belum lepas daripada bahu (= kepala).
Belum lepas daripada tanggungan (anak lelaki atau anak perempuan).
4 .
Ibarat beban sudah ke tepi.
Suatu pekerjaan yang sudah hampir selesai, atau rundingan yang hampir mencapai kata sepakat. (Bandingkan dengan: Mayat sudah di tepi kubur). ke tepi = maksudnya: sudah di pintu, akan dibawa turun.
5 .
Ibarat bunga: sedap dipakai layu dibuang.
Perempuan yang dikasihi sementara muda, tetapi setelah tua lalu diceraikan. sedap = maksudnya: segar.
6 .
Ibarat burung: mata lepas badan terkurung.
Tidak ada kemerdekaan.
7 .
Ibarat burung: mulut manis jangan dipakai.
Perkataan manis selalu berisi semu di dalamnya. semu = tipu, khianat.
8 .
Ibarat dawat (dakwat) dengan kertas: bila boleh renggang terlepas.
Suami isteri yang berkasih-kasihan.
9 .
Ibarat gasing: berpaku tetap berpusing, tak berpaku merayau.
Lelaki yang sudah beristeri, biar bagaimanapun ia berjalan namun ia tetap akan kembali ke rumahnya juga.
10 .
Ibarat kutu, boleh diselisik.
Kesalahan atau keburukan tidak dapat disembunyikan. selisik = diraba-raba dengan jari di dalam rambut.
11 .
Ibarat negeri berubah rasam; ibarat tahun berubah musim.
Orang yang tidak tetap kedudukannya. rasam = adat, kebiasaan.
12 .
Ibarat pasir: sekali air dalam sekali berubah.
Rakyat jelata terpaksa menurut perubahan pada tiap-tiap kali pemerintahan bertukar. (Bandingkan dengan: Sekali air besar, sekali tepian beranjak [= beralih]).
13 .
Ibarat perahu takkan karam sebelah.
Kaum keluarga ikut bersimpati atas kecelakaan yang menimpa kerabatnya.
14 .
Ibarat rumput yang sudah kering, ditimpa hujan segar kembali.
Orang melarat mendapat pertolongan.
15 .
Ijuk sebelembang, tali di situ keluan di situ.
Pencarian yang tiada memadai. sebelembang = seberkas.
16 .
Ikan biar dapat, serampang jangan pukah.
Maksud biar tercapai, kerugian jangan ada. (Peribahasa lain yang sama makna: Biar ular mati, kayu tiada patah). serampang = tempuling; pukah = bengkok, patah.
17 .
Ikan dalam keroncong.
Tiada tertolong lagi (Tentang: Orang yang telah tertangkap). keroncong = bilik-bilik bubu sebelah dalam.
18 .
Ikan digulai sudah melompat.
Nasib yang malang.
19 .
Ikan di hulu tuba di hilir.
Perbuatan yang sia-sia.
20 .
Ikan di kuali, habis melompat.
Nasib yang malang. (Peribahasa lain yang sama makna: Ikan digulai sudah melompat).
21 .
Ikan lagi di laut, lada garam sudah di sengkalan.
Sudah bersiap sedia untuk mengecap hasil yang belum lagi diperoleh. (Peribahasa lain yang sama makna: Burung terbang dipipiskan lada). sengkalan = pengisar rempah-rempah.
22 .
Ikan pulang ke lubuk.
Telah kembali ke tempat asalnya.
23 .
Ikan seekor rosakkan ikan setajau.
Kerana yang sedikit rosak yang banyak. tajau = tempayan besar dibuat daripada tanah berlapis sejenis proselin.
24 .
Ikan sekambu rosak oleh ikan seekor.
Kerana yang sedikit rosak yang banyak. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Ikan seekor rosakkan ikan setajau, b. Sebab nila setitik, rosak susu [= santan] sebelanga). kambu = bakul.
25 .
Ikan tergantung, kucing tunggu.
Mengharapkan untuk memperoleh barang yang diingini.
26 .
Ikan terkilat (= terkilap) jala tiba.
Sangat cepat menangkap maksud perkataan orang: tindakan yang cepat.
27 .
Ikan yang di dalam lautan yang besar-besar sekalipun, termasuk juga ke dalam pukat.
Sepandai-pandai orang, ada kalanya salah juga. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Belut kena ranjau [= getah], b. Sepandai-pandai tupai melompat, sekali gawal [= terjatuh] juga, c. Walau ikan diam di dalam tujuh lautan sekalipun, termasuk ke dalam pukat juga).
28 .
Ikannya belum dapat, airnya sudah keruh.
Perbuatan (= tindakan) yang tidak bijaksana.
29 .
Ikat boleh diubah, takuk bagaimana mengubahnya?
Perangai yang sudah jadi tabiat sukar sekali mengubahnya. takuk = luka pada pohon, misalnya pada pohon kelapa tempat berpijak naik ke atas.
30 .
Ikhtiar menjalani, untung menyudahi.
Untuk mencapai sesuatu maksud mestilah berusaha, berhasil atau tidaknya, terserah kepada nasib.
31 .
Ikut hakim memiat daging: sakit di awak sakitlah orang.
Sesuatu perintah hendaklah dilakukan dengan adil. memiat (piat) = memiuh ke kiri ke kanan.
32 .
Ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut mata leta.
Orang yang mengikutkan hawa nafsunya, tentu akan celaka akhirnya.
33 .
Ilmu padi, makin berisi makin runduk.
Makin banyak ilmu atau makin tinggi pangkat makin merendah diri. (Peribahasa lain yang sama makna: Bawa resmi padi, makin berisi makin tunduk).
34 .
Inai tertepung, kuku tanggal.
Usaha yang tak dapat diambil hasilnya kerana terjadi kemalangan. tertepung = sudah digiling.
35 .
Indah khabar daripada rupa.
Perkhabaran selalu dilebih-lebihkan daripada keadaan yang sebenarnya. (Peribahasa lain yang sama makna: Bagai menumbuk padi hampa).
36 .
Ingat ranting yang akan melenting, dahan yang akan mencocok, duri yang akan mengait.
Hendaklah selalu beringat tentang segala bahaya dan rintangan ketika melakukan sesuatu pekerjaan.
37 .
Ingat sebelum kena, jimat (= hemat) sebelum habis.
Selalu waspada dan hati-hati; harus berusaha, jangan sampai terlambat.
38 .
Ingat-ingat yang di atas, yang di bawah akan menimpa.
Orang yang sedang berkuasa hendaklah berhati-hati menjalankan kewajipannya, jangan sampai menyusahkan orang-orang kecil, yang sewaktu-waktu mungkin akan menentang kerana kelakuannya yang tidak baik itu.
39 .
Ingin di buah manggis hutan, masak ranum tergantung tinggi.
Inginkan sesuatu yang sudah diperoleh.
40 .
Ingin hati memandang (= melihat) pulau, sampan ada pengayuh tidak.
Ingin hendak berbuat sesuatu pekerjaan, tetapi alatnya tidak cukup.
41 .
Ini hari orang, besok hari kita.
Malang dan malapetaka itu tak dapat ditentukan (nasihat supaya beringat-ingat)
42 .
Intan berlian jangan dipijakkan.
Untung bahagia jangan dielakkan.
43 .
Intan dikalungkan di leher anjing.
Memberikan sesuatu (barang, nasihat) kepada orang yang tidak mahu atau bukan pada tempatnya.
44 .
Intan disangkakan batu kelikir.
Tidak mengetahui harga (keadaan) yang sebenarnya.
45 .
Intan itu jika terbenam di pelimbahan sekalipun, tiada akan hilang cahayanya.
Kebenaran akan ternyata juga, walapun disembunyikan; orang yang baik akan ketahuan juga walaupun hidupnya melarat.
46 .
Intan salah serudinya.
Biarpun berketurunan baik, kalau tidak berpelajaran atau membuat kelakuan yang buruk, nescaya jahat dan hina juga jadinya. serudi = canai.
47 .
Isi dada bekal berjalan.
Kalau ada ilmu ke mana pergi mudah rezeki.
48 .
Isi lemak dapat ke orang, tulang bulu pulang ke kita.
Kita yang berusaha, orang lain yang senang.
49 .
Itik berenang dalam air (= di laut) mati kehausan.
Menderita kesusahan meskipun banyak wang atau berpangkat tinggi. (Biasa juga: Itik di air mati kehausan).
50 .
Itik bertaji.
Sangat penakut, tetapi sombong.
51 .
Itik diajar berenang.
Membuat pekerjaan yang sia-sia.
52 .
Itik dimandikan takkan basah.
Orang yang degil tidak akan mendengar nasihat atau ajaran.
53 .
Itik mendapat air.
Memperoleh sesuatu yan sangat digemarinya.
54 .
Itik tak sudu, ayam tak patuk.
Tersisih daripada pergaulan kerana kemiskinan

0 comments:

Catat Ulasan