konserto terakhir

sinopsis
Novel Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain mengisahkan tentang seorang anak kampung bernama Hilmi yang telah datang ke rumah bapa saudaranya, Datuk Johari di bandar untuk mencari pekerjaan. Kedatangannya tidak disenangi oleh Datuk Johari sekeluarga terutamanya Datin Salmah. Datuk Johari gagal mencarikan pekerjaan untuk Hilmi lalu mengambilnya bekerja sebagai tukang kebun. Walau bagaimanapun, Hilmi tetap tidak dapat layanan yang baik dari keluarga Datuk Johari.

Hilmi tetap seronok walaupun tidak mendapat layanan yang baik kerana dia merasakan dirinya dan bunga-bunga serta kebun sayur itu mempunyai dunia sendiri. Dalam diam-diam Hilmi jatuh hati kepada Hayati iaitu anak Datuk Johari yang sudah bertunang dengan Mohsin. Di samping itu, Hilmi juga terpikat dengan alunan piano yang dimainkan oleh Hayati. Hilmi secara tidak sengaja telah merosakkan piano tersebut dan dimarahi oleh Datin Salmah lalu dipotong gajinya.

Datuk Johari dan keluarga telah bercuti ke luar negara dan Hilmi ditugaskan menjaga rumah selama sebulan. Sepanjang Datuk Johari dan sekeluarga bercuti, Hilmi telah berkawan dengan Mamat, iaitu drebar Dr. Nathan jiran Datuk Johari. Mamat telah pulang ke kampung dan berkahwin dengan Esah. Hilmi amat berminat untuk mempelajari bermain piano. Mamat juga membantu Hilmi berkenalan dengan seorang ahli muzik yang terkenal yang bernama Encik Bakar. Hilmi telah berguru dengan Encik Bakar tanpa sebarang bayaran.

Kepulangan Datuk Johari dan sekeluarga disambut dengan alunan piano yang dimainkan oleh Hilmi. Maka, timbullah konflik antara Hilmi dan Datin Salmah. Lebih -lebih lagi Hayati telah memberikan oleh-oleh kepada Hilmi. Datin Salmah telah menuduh Hilmi menggunakan ubat guna- guna untuk memikat Hayati. Akhirnya, Hilmi terpaksa meninggalkan rumah tersebut dengan alasan mahu pulang ke kampung untuk menziarahi bapanya yang sakit.

Hilmi tidak jadi pulang ke kampung tetapi bekerja di sebuah stesen minyak di Setapak. Hilmi meneruskan cita-citanya untuk menjadi seorang ahli muzik yang terkenal dan terus belajar muzik dengan Encik Bakar. Hilmi berjaya memainkan beberapa alat muzik seperti trompet, biola, klarinet, dan seksofon. Hilmi juga berjaya mencipta lagu pertama yang berjudul "sebuah Intermeso".

Kekecewaan Hilmi semakin parah setelah dia mengetahui berita perkahwinan Hayati dan Mokhsin. Untuk meneruskan cita-cita, Hilmi telah berhenti bekerja di stesen minyak itu dan Encik Bakar telah membawanya bermain di dalam quartet yang dipimpin oleh Encik Bakar sendiri. Persembahan Hilmi telah mendapat sambutan dan akhirnya dia muncul sebagai "pemain biola hikmat Malaysia".

Hayati pula telah mendapat biasiswa daripada British Council dan akan berangkat ke London tidak lama lagi. Dengan bantuan Mamat, Hayati dan Helmi dapat bertemu sebelum Hayati berangkat ke London. Hilmi telah mencipta satu lagi lagu yang berjudul "Detik - Detik Perpisahan" sempena perpisahannya itu.

Sesuai dengan perkembangan muzik, Hilmi dan Azizah iaitu anak Encik Bakar telah menubuhkan sebuah kugiran, yang diberi nama 'Kugiran Dahlia'. Kugiran Dahlia telah cepat mendapat sambutan. Hilmi kemudiannya telah berkahwin dengan Azizah. Perkahwinan mereka tidak bahagia setelah Azizah melahirkan anak pertama, Hakimi. Keretakan rumah tangga mereka tidak dapat diselamatkan. Perasaan Hilmi bertambah sedih apabila Encik Bakar meninggal dunia.

Tiga tahun berturut-turut Orkestra Hilmi telah muncul sebagai pemenang dalam pesta muzik tahunan yang dianjurkan oleh RTM (Radio Televisyen Malaysia). Hilmi juga telah diminta untuk membuat satu arrangement ( penyusunan) semua lagu yang telah digubahnya dalam satu pertunjukan Orkestra Perdana setaraf dengan Royal Performance ( persembahan di-Raja ) yang akan dihadiri oleh pembesar-pembesar negara. Dia memberi nama arrangement itu “Hilmi Potpouri”.

Hilmi terus mendalami muzik dan semakin, terkenal. Kesibukannya menyebabkan Hilmi telah mengabaikan kesihatannya sehingga dia akhirnya jatuh sakit. Hilmi tidak dapat hadir untuk memimpin Pertunjukan Orkestra Perdana di Dewan Tunku Canselor kerana sakit. Hayati yang baru pulang dan luar negeri telah mengambil tempat Hilmi memimpin orkestra itu.

Semasa di hospital, bapa Hilmi, Pak Karim mendedahkan rahsia identiti Hilmi. Hilmi sebenarnya ialah anak kandung Datuk Johari bersama bekas isterinya yang pertama. Datuk Johari dan Datin Salmah menyesali perbuatan mereka. Hayati terharu apabila mengetahui Hilmi adalah abangnya manakala Azizah menyedari kesilapan dirinya. Hilmi akhirnya meninggal dunia tanpa mengetahui kisah sebenarnya.

0 comments:

Catat Ulasan